TNBES, UTM jalin kerjasama tenaga cekap, diperbaharui

Oleh Shahrizan Salian
  
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama dalam bidang Kecekapan Tenaga (EE) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Memorandum persahaman itu dijalin menerusi anak syarikat TNB, TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES), yang bakal memberi manfaat kepada UTM untuk mengoptimumkan kos tenaga elektrik dan menjana tenaga elektrik sendiri.
Antara potensi projek yang dikenal pasti untuk dibangun, dinilai dan ditawarkan adalah program EE melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC), yang membabitkan pencahayaan LED dan pendingin hawa di enam bangunan di UTM.
Bangunan terbabit ialah Pusat Pengajian Islam, Fakulti Geoinfomasi dan Hartanah, Fakulti Pengurusan, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
Ia turut membabitkan pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui dan unit pendingin hawa cekap tenaga untuk Masjid Sultan Ismail UTM, di samping pelaksanaan sistem Photovoltan Bersepadu Bangunan (BIPV) menggunakan Skim Net Tenaga Permeteran (NEM) di Pusat Makmal Penyelidikan Universiti-Industri serta Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).
Satu lagi projek ialah kerjasama pendidikan dan penyelidikan dalam membangunkan kampus UTM Johor Bahru sebagai makmal kehidupan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Memorandum persefahaman dimeterai oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Profesor Dr Azlan Abdul Rahman, manakala TNBES diwakili Pengarah Urusan, Dr Ir Ahmad Jaafar Abd Hamid.
Kenyataan TNBES menyebut, perjanjian itu berkuat kuasa untuk lima tahun dan bertindak sebagai pemangkin bagi kemajuan serta aktiviti penyelidikan berkaitan tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga elektrik di UTM.

No comments:

Post a Comment