Bahan bakar biomas dapat permintaan tinggi

KUALA LUMPUR 7 Mei - Malaysia diseru untuk terlibat aktif dengan industri pengeluaran pelet bahan bakar biomas untuk pasaran Asia dan Eropah ekoran permintaan yang tinggi dan dijangka boleh mencecah sehingga lima juta tan setahun menjelang 2015.Pengarah Urusan Detik Aturan Sdn. Bhd., Khairil Annuar Khalid berkata, Malaysia merupakan antara pengeluar sisa biomas terbesar di dunia dengan bahan berasaskan kelapa sawit merupakan penjana terbesar.Menurutnya, jumlah pasaran bahan bakar itu di Asia pada 2010 adalah sekitar 770,000 tan dan China merupakan pengguna terbesar iaitu kira-kira 600,000 tan setahun."Pada tahun tersebut, negara kita mencatatkan pengeluaran sisa biomas sekitar 80 juta tan metrik dan lambakan bahan tersebut boleh dikitar semula bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadapnya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.Menurutnya, kilang pengeluaran pelet bahan bakar biomas syarikat itu telah dibuka di Kuala Selangor pada April lalu.Dalam majlis yang sama, syarikat milik penuh bumiputera itu turut menandatangani satu perjanjian kerjasama teknikal dan pemasaran untuk pasaran di Korea Selatan bersama syarikat Eco Front Co. Ltd.Menurut Khairil Annuar, atas kesedaran untuk melindungi alam sekitar, negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan salah satunya adalah melalui penggunaan pelet bahan bakar biomas."Usahawan di Malaysia perlu mengambil inisiatif dalam memanfaatkan peluang perniagaan itu apatah lagi ia juga selari dengan dasar kerajaan melalui inisiatif Strategi Alternatif Biomas 1Malaysia (1MBAS) yang dilancarkan pada 22 Mac lalu."Dasar tersebut menekankan ke arah pembangunan dan guna semula sisa biomas tempatan sebagai sumber kekayaan negara," jelasnya.Beliau berkata, pihaknya juga bersedia menawarkan bantuan melalui khidmat kepakaran dalam penghasilan bahan tersebut kepada pihak yang berminat untuk menambah nilai sisa buangan biomas mereka.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120508/dn_10/Bahan-bakar-biomas-dapat-permintaan-tinggi

No comments:

Post a Comment