Perladangan sumber tenaga baharu

Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 April - Syarikat-syarikat gergasi perladangan mampu menjadi pembekal tenaga terbesar menggantikan syarikat cari gali petroleum seperti Petronas dalam tempoh 20 tahun akan datang.Pengurus Besar, Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Thomas Brandt berkata, syarikat-syarikat tersebut mempunyai keupayaan untuk menjadi pembekal tenaga diperbaharui berikutan mereka mengeluarkan banyak bahan sampingan organik seperti biomas."Buat masa ini syarikat-syarikat perladangan tempatan hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran minyak sawit dan tidak begitu berminat untuk memproses semula bahan-bahan tersebut sebagai satu sumber tenaga diperbaharui, " katanya semasa taklimat media di sini hari ini.Menurut Brandt, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai potensi besar sebagai pengeluar sumber tenaga yang diperbaharui kerana ia mempunyai radiasi solar 25 peratus lebih tinggi berbanding Jerman yang menjadi antara penyumbang terbesar sumber tenaga diperbaharui dunia.Selain itu, Malaysia juga memiliki 63 juta tan biomas di mana 23 juta tan daripadanya telah dikomersialkan sebagai sumber tenaga diperbaharui.Namun begitu menurut Brandt, Feed-in-Tarif (FiT) yang dikenakan Malaysia sangat rendah dan dilihat sebagai tidak mempunyai daya penarik kepada syarikat-syarikat peladangan untuk menceburi bidang pengeluaran sumber tenaga diperbaharui walaupun mereka mempunyai biomas yang banyak.Katanya, mungkin kerajaan perlu menilai semula FiT kerana syarikat-syarikat tersebut hanya berminat sekiranya mereka diberikan julat keuntungan yang lebih besar." Sumber tenaga fosil dihasilkan selama berbilion tahun tetapi boleh dihabiskan dalam tempoh 25 tahun sahaja sedangkan dengan kekayaan sumber negara ini mampu mengeluarkan tenaga yang diperbaharui yang berterusan untuk generasi-generasi akan datang, " ujar beliau lagi.Untuk rekod, di bawah Akta Tenaga Diperbaharui 2010 individu ataupun syarikat boleh menjual tenaga elektrik yang dijana daripada tenaga diperbaharui kepada syarikat-syarikat utiliti pada harga premium yang ditetapkan mengikut waktu yang telah dikhaskan.Empat sumber tenaga diperbaharui yang layak untuk FiT adalah biogas, biomas, penjana tenaga hidro kecil dan solar fotovoltik (solar PV).Malaysia mensasarkan 2,080 megawat atau 11 peratus daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijana di negara ini pada tahun 2020 adalah datangnya daripada tenaga diperbaharui.Pada ketika ini, kurang daripada satu peratus keseluruhan tenaga elektrik di negara ini dijana daripada tenaga diperbaharui sedangkan sasaran kerajaan adalah 5.5 peratus menjelang 2015.Kadar yang dibayar oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada pengeluar tenaga diperbaharui sekarang adalah 12 sen bagi setiap kilo wat / jam.Dengan FiT, pengguna boleh memasang sumber tenaga diperbaharui sendiri seperti modul solar di rumah dan ia mampu menjadi pendapatan kedua bagi pengguna apabila mereka menjual tenaga elektrik tersebut kepada TNB.

No comments:

Post a Comment